Sunday, January 27, 2013

Hipokrit!



Duduk seorang diri di Wisma Pelajar 1, pintu tertutup dan terbuka sendiri dengan perlahan-lahan. Tiada tangan yang menolak. Persis cerita hantu. Waktu makan tengah hari. Perut sudah memainkan alunan keroncong, irama Melayu asli. Tetapi angin sepoi-sepoi bahasa di puncak bukit ini memang menyamankan. Ditambah panorama menghijau sekeliling. Ah, tenang sungguh rasanya! Waktu cuti memang mendamaikan. Jauh dari hiruk-pikuk suara manusia. Atau kelibat-kelibat yang lalu-lalang.

*****

Seringkali kita berkata, "Jangan menilai seseorang berdasarkan luaran mereka". Mangsa keadaan. Parah. Pilu. Mungkin pada mata yang memandang, itulah tafsiran mereka. Sedangkan berbual di alam nyata tidak pernah. Walaupun selalu bertembung. Menegur cuma 'hai' sepatah, sekadar berbasa-basi. Mungkin pernah berbual, sekali atau dua, jarang-jarang, dan bukan untuk tempoh yang lama. Masakan boleh dibuat penilaian daripada tempoh sesingkat itu?

Jangan samakan dunia realiti dan alam maya. Manusia boleh menjadi seramah-ramah manusia di Facebook atau Twitter, namun di alam nyata, keadaan mungkin berbeza. Manakan sama alam ciptaan manusia dan alam ciptaan Ilahi. Mungkin juga personaliti ramah itu terbawa-bawa ke dunia visual. Namun, adilkah menilai seseorang itu berdasarkan tweet atau post yang berkemungkinan tidak mencerminkan sepenuhnya peribadi beliau? Mulut senang berbicara, "Kenal la dia betul-betul dulu, baru la boleh nak cakap apa pun". Atau mungkin apabila sudah menjadi mangsa keadaan, pantas pula melenting, "Kau tak kenal aku, apahal nak cakap macam tu?" Wajarkah begitu, apabila diri sendiri melakukan perkara yang sama terhadap insan lain? Kata orang, jangan buat dekat orang, benda yang kita tak nak orang buat dekat kita. Mudah. Terlalu mudah. Tapi secara praktikal, berapa ramai yang mengaplikasi?

Tak dinafikan first impression itu penting. Tapi ini bukan first impression! Lain keadaan antara first impression dan bila dah agak lama kenal. Kenal secara permukaan, luaran sahaja. Senang pula menjatuhkan hukum terhadap seseorang, berdasarkan status-status di alam maya. Tanpa mengenal peribadinya secara mendalam terlebih dahulu. Mungkin ada sebab beliau buat begitu? Ah, kau tidak tahu! Sebab itu mudah bagi kau membuat kesimpulan.

*****
Nafas ditarik dalam-dalam. Terngiang-ngiang kalimat itu di telinga. Harus diambil dari sudut positif. Kecamuk hati ditahan-tahan. Tidak semurah itu air mata untuk jatuh berguguran. Lagipun, rakan baik telah berpesan, "Jangan menangis lagi, please. Please". Biarlah apa orang nak kata. Cuma lepas ini elakkan. Cuba jangan terlalu bermanis mulut. Jangan terlalu ramah. Jangan terlalu baik. Walaupun dengan orang yang rapat. Konon memahami. Azan Zohor usai berkumandang. Kerusi ditarik. Suis kipas ditutup. Haruslah segera menyambut seruan Ilahi!








ilhamnadia 





No comments: